Siapa tidak suka Kek Coklat Lembap atau yang lebih dikenali sebagai Moist Chocolate Cake?  Pada pendapat saya kek coklat moist yang sedap adalah yang padat dengan rasa coklat, lembut, tidak rapuh dan tidak kering serta merekah – dan yang paling penting sekali, ia mestilah segar.  Kek coklat moist yang siap dengan ganache (iaitu disapu dengan krim coklat) biasanya dijual pada harga RM40 – RM60 sekilogram. 


Kek Coklat


Akan tetapi jika anda membuat sendiri Kek Coklat Moist di rumah, kos membuatnya mungkin di antara RM15 – RM20 sahaja.  Oleh itu, anda bukan sahaja dapat menjimatkan kos, tetapi juga dapat menjamu selera dengan kek yang segar dan sedap.

Di sini saya ingin berkongsi resepi Kek Coklat Moist yang agak mudah disediakan.

Bahan-bahan:
  • 1 cawan tepung naik sendiri
  • ½ cawan serbuk koko
  • ½ sudu teh baking soda
  • 100gm mentega
  • 1 cawan gula kastor
  • 1½ cawan susu
  • ¼ cawan minyak sayuran
  • 1 biji telur
  • Esen vanilla

Kaedah:
  1. Panaskan ketuhar pada suhu 180ºC / 350ºF, lebih kurang 10 minit sebelum mula membakar.
  2. Ayak dan campurkan tepung, serbuk koko dan baking soda di dalam mangkuk.  Ketepikan.
  3. Dengan menggunakan mixer, pukul mentega dan gula sehingga kembang.  Masukkan telur dan tambahkan esen vanilla ke dalam adunan.
  4. Masukkan campuran bahan kering di atas sedikit demi sedikit ke dalam adunan, selang seli dengan susu.  Teruskan memukul adunan dengan perlahan agar sebati dan masukkan minyak sayuran. 
  5. Sapukan minyak/mentega pada permukaan loyang dan alas loyang dengan baking paper.
  6. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakar selama 25-30 minit.

Kek ini lazat dimakan begitu sahaja atau disapu dengan ganache atau dimakan bersama ais krim.

Jika inginkan hasil yang lebih lembut dan lembap, segera tutup kek dengan kertas aluminium apabila tamat tempoh bakar.  Biarkan tertutup selama sekurang-kurangnya 1 jam.  Kek ini boleh disimpan selama 3 hari di dalam bekas kedap udara.

Cara membuat Ganache (krim untuk disapu pada kek)
Bahan-bahan:
  • 100 gm kepingan coklat masakan (dipotong kecil)
  • 200ml susu lemak manis (condensed milk)
  • 3 sudu besar mentega

Kaedah:
  1. Dengan menggunakan double-boiler, cairkan kepingan coklat bersama susu sejat dan mentega.  Kacau adunan sehingga ia sebati dan pekat.  Biarkan sejuk.
  2. Setelah sejuk, sapukan ganache pada kek.
Panduan Buat Kek Coklat